KUALA LUMPUR, 17 Okt – Pantau….. Kerajaan kini dalam keadaan berjaga-jaga susulan serangan oleh tentera bersekutu diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap kubu kuat Daesh di Mosul, Iraq, bermula hari ini.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ia berikutan wujud kemungkinan anggota militan Daesh pulang ke negara asal atau mencari perlindungan di negara tertentu sekiranya serangan itu melumpuhkan mereka.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia mengukuhkan hubungan dan perkongsian maklumat bersama negara yang terbabit dengan serangan itu antaranya AS, Perancis dan Turki, selain hubungan trilateral antara Malaysia, Indonesia dan Filipina.

“Maklumat risikan antarabangsa memaklumkan bilangan militan Daesh yang terbabit secara langsung di Iraq dan Syria akan pulang ke negara asal atau mencari perlindungan ini sangat besar, mencecah puluhan ribu.

“Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengukuhkan rangkaian dengan negara yang terbabit dalam serangan di Iraq dan Syria, selain meningkatkan perkongsian maklumat dengan negara di rantau ini.

“MINDEF memastikan perkongsian maklumat oleh AS, Perancis dan Turki dipertingkat dalam pertemuan baru-baru ini, manakala hubungan trilateral antara Malaysia, Indonesia dan Filipina diperluaskan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi mengumumkan serangan tentera bersekutu diketuai AS bermula hari ini bagi menawan semula pusat pemerintahan Daesh di Mosul, Iraq.