PUTRAJAYA, 5 Jan – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penunjuk perasaan menyerang konsulat Arab Saudi di Mashad dan kedutaan Arab Saudi di Teheran, Iran baru-baru ini dan amat bimbang dengan perkembangan di Asia Barat.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, dalam satu kenyataan, menggesa pihak berkuasa Iran mengambil segala langkah berjaga-jaga yang perlu bagi melindungi premis kedutaan asing di negara terbabit.

“Ini selaras dengan peruntukan Konvensyen Vienna 1961 mengenai Hubungan Diplomatik. Pihak berkuasa Iran juga harus mengambil tindakan mengikut undang-undang terhadap dalang di sebalik serangan ini,” katanya.

Serangan itu menyusuli tindakan Arab Saudi menghukum mati ulama terkenal Syiah, Nimr al-Nimr, Sabtu lalu, yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan negara yang mengikuti fahaman itu.

Nimr adalah antara 47 pesalah yang dihukum pancung oleh pihak berkuasa Arab Saudi berhubung jenayah keganasan dan menjadi dalang dalam tunjuk perasaan antikerajaan di negara itu pada 2011. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY