KUALA LUMPUR, 1 April – Malaysia mula melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) hari ini yang dilihat sebagai satu pembaharuan penting
dalam usaha memperkukuh ekonomi negara dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Langkah itu menyaksikan Malaysia menyertai barisan lebih 160 negara di dunia
yang telah memperkenalkan CBP, termasuk tujuh negara rantau Asia Tenggara yang
menganggotai ASEAN.

Pada kadar CBP enam peratus – kadar yang paling rendah dalam kalangan negara
ASEAN – kerajaan menyasarkan hasil dikutip untuk kegunaan pembangunan dan
meningkatkan infrastruktur sosial.

Golongan peniaga juga dijangka menikmati pengurangan kos perniagaan melalui
penambahbaikan sistem cukai semasa dan penghapusan elemen cukai bertindih.

Mengambil kira kepentingan rakyat, kerajaan turut memperkenalkan kategori
barangan dan perkhidmatan dikecualikan CBP bagi menggantikan Cukai Jualan dan
Perkhidmatan sebanyak 16 peratus yang diguna pakai selama ini.

Antaranya barangan makanan asas, perkhidmatan kesihatan, pendidikan
dan pengangkutan awam di samping jumlah tertentu penggunaan bekalan air dan
elektrik.

Menyedari pasti akan wujud kekeliruan serta untuk melindungi pengguna,
kerajaan menyediakan beberapa mekanisme agar rakyat tidak tertipu dengan
pelaksanaan CBP oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Antara undang-undang yang berkaitan CBP ialah Akta Kawalan Harga dan
Antipencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999
dan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Selain itu, enam buah buku panduan harga pengguna mengikut zon mengandungi
senarai harga barangan yang turun, kekal dan naik turut diterbitkan Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Buku panduan itu boleh diperoleh secara percuma di ibu pejabat dan di
pejabat KPDNKK setiap negeri atau memuat turun dari laman web http://ebook.kpdnkk.gov.my.

KPDNKK turut menyediakan talian aduan menerusi hotline Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atau di laman web http://aduan.customs.gov.my atau menghubungi
KPDNKK di talian hotline 1-800-886-800 atau 03-88826245 dan 03-88826088.

JKDM pula menyediakan talian hotline 1-300-888-500 atau 03-8882211 untuk orang ramai mendapatkan sebarang penjelasan lanjut berhubung CBP.

Orang ramai juga diingatkan bahawa hanya peniaga berdaftar dengan CBP berhak
mengenakan cukai itu dan semakan senarai premis perniagaan tersebut boleh dibuat
di laman web http://gstmalaysiainfo.com/bagaimana-cara-untuk-menyemak-status-gst. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY