PUTRAJAYA, MAC 12 – MALAYSIA…Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Malaysia adalah diantara negara yang banyak memberikan subsidi pendidikan kepada pelajar.

Berkongsi pengalamannya dijemput melawat pelbagai negara di semua benua di dunia sebagai menteri kabinet dan perdana menteri, selain pernah belajar di London sejak berumur 13 tahun, katanya tiada negara lain seperti Malaysia.

Dari segi mobiliti sosial, beliau berkata kerajaan menyediakan peluang kepada rakyat untuk mendapat pendidikan seluas-luasnya melalui subsidi tidak langsung sejak peringkat prasekolah hingga pengajian tinggi, sekali gus membolehkan rakyat yang kurang berkemampuan mengubah kehidupan masing-masing.

“Yuran universiti awam (UA) tidak pernah dinaikkan dengan lebih 90 peratus kos ditanggung oleh kerajaan. Harga roti canai dan teh tarik pun naik, tetapi yuran pengajian tidak pernah naik.

“(Bagi) setiap pelajar sekolah menengah juga, kos yang ditanggung kerajaan adalah RM8,900 dan sekolah rendah sebanyak RM8,000. Inilah antara keindahan Malaysia,” katanya pada program Siswa bersama Perdana Menteri anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di Seri Perdana, di sini semalam.

Menjelas lanjut, Najib berkata mobiliti sosial hasil dasar-dasar kerajaan dalam aspek pendidikan juga dapat dilihat dalam barisan jemaah menteri dan pimpinan kanan kerajaan yang sebahagian daripada mereka berasal daripada keluarga kurang berkemampuan. – MY WD