KUALA LUMPUR, 29 Jan — PENGURUSAN….. Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Malaysia akan menjadi negara pertama di luar China melaksanakan inisiatif pengurusan trafik bandar raya bestari, City Brain, yang dibangunkan Alibaba Cloud.

Beliau berkata platform itu diguna pakai dan dikembangkan daripada Hangzhou City Brain melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi membuat ramalan trafik tepat masa dengan menggunakan teknologi pengecaman video dan imej.

“Inisiatif ini dipacu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Alibaba Cloud bagi mengelak atau mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan ketara, di samping meningkatkan keselamatan jalan raya dan kecekapan perkhidmatan kecemasan,” katanya ketika mengumumkan kerjasama antara MDEC, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alibaba Cloud Malaysia tentang Malaysia City Brain hari ini.

Beliau berkata menurut statistik daripada Alibaba Cloud, projek perintis pelaksanaan sistem pengurusan trafik bestari di Hangzhou yang bermula pada September 2016 mencatat peningkatan aliran atau kelajuan trafik sebanyak 15 peratus.

“Pembuktian tentang projek konsep telah dilakukan di peringkat tempatan pada Ogos 2017 dengan kerjasama beberapa pembekal data daripada sektor swasta, manakala MDEC pula menyediakan khidmat pengurusan projek serta analisis data dan Alibaba Cloud menyediakan platform serta kepakaran bidang khusus.

“Apabila Malaysia City Brain berkembang kelak, teknologi AI akan membantu memberi manfaat kepada rakyat. Ini termasuk aliran trafik lebih lancar, masa respons yang lebih pantas daripada perkhidmatan kecemasan serta peningkatan kecekapan dalam pengendalian trafik dan keselamatan jalan raya,” katanya. – WD MY