PUTRAJAYA, 8 Nov – Sedia Bekerjasama……. Malaysia bersedia memenuhi permintaan Turkmenistan yang mahu PETRONAS meneroka industri hiliran dalam sektor minyak dan gas di negara berkenaan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, Malaysia bersedia mengukuhkan kerjasama dengan mengambil bahagian dalan pembinaan loji petrokimia serta projek saluran paip gas ke Afghanistan dan Pakistan.

“PETRONAS sudah melabur AS$10 bilion (RM42 bilion) di Turkmenistan sejak 1996. Pembangunan fasiliti gas di Laut Caspian adalah contoh utama komitmen pelaburan di negara itu serta menunjukkan keupayaan PETRONAS dalam sektor minyak dan gas di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama dengan Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Selain itu, Najib berkata, Presiden Gurbanguly juga berminat untuk mempelajari model ekonomi yang dilaksanakan Malaysia.

“Kita mengalu-alukan pihak Turkmenistan untuk menghantar pasukan teknikal mereka bagi mempelajari pengalaman Malaysia,” katanya. – WD MY