KUALA LUMPUR, 14 Mac – Bantuan….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan perubatan kepada Kerajaan Somalia berikutan kemarau di negara itu sejak tiga tahun lalu.

Ahmad Zahid berkata, bantuan kemanusiaan itu akan dihulur melalui tiga saluran iaitu dari kerajaan kepada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

“Selain itu, Malaysia juga akan bekerjasama dengan Program Makanan Sedunia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk membantu Somalia menghadapi krisis kemarau dan kebuluran.

“Malaysia juga akan mempertimbangkan bantuan kredit mikro untuk membantu golongan miskin tegar dan berpendapatan rendah di negara itu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Somalia, Mohamed Omer Arteh di pejabatnya di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Pertemuan dua pemimpin berkenaan menjadi platform untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala negara terbabit, terutama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertahanan dan pendidikan.

Mohamed Omer kini dalam lawatan peribadi ke negara ini bermula sejak 9 Mac lalu hingga esok. – WD MY