REMBAU, 23 Nov – EKSPORT…….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia menyasar untuk mengeksport sekurang-kurangnya 30 peratus ayam pedaging menjelang 2030.

Ahmad Zahid berkata ketika ini negara hanya mengeskport kira-kira tujuh peratus  daripada sejumlah 1.5 juta ekor ayam pedaging yang dikeluarkan oleh kilang-kilang dan pusat ternakan setiap hari.

“Justeru saya menyeru syarikat -syarikat pemprosesan ayam pedaging untuk mempertingkatkan pengeluaran bagi pasaran dunia dan keseluruhan kerana kita tahu tahap kecukupan ayam pedaging di Malaysia sekarang ini sebanyak 128 peratus.

“Ini menyumbang sebanyak 75 peratus daripada pasaran keseluruhannya bernilai RM10 bilion daripada industri ternakan negara,” katanya dalam ucapan perasmian Kilang Pemprosesan Ayam Pedaging Hy-Fresh Al Barakah Food Industries Sdn Bhd di Pedas Halal Park, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata Malaysia juga merupakan antara pengeksport bersih ayam pedaging dalam kalangan negara ASEAN dan tidak lagi menjadi negara pengimport ayam.

Beliau berkata pengusaha dan penternak ayam berskala besar perlu mempertingkatkan lagi produktiviti mereka, sekali gus menyumbang kepada jaminan makanan negara.

” Kita tahu apa yang telah kita lakukan adalah sebahagian daripada strategi ‘ food security’ (jaminan makanan) di negara kita dan kita bukan hanya pandang dari segi ‘bottom line’ (keuntungan) untuk pengeluaran ayam ini , tetapi kita mahu daripada segi jangka panjangnya semua protein termurah ini dapat dinikmati,” katanya.

Selain itu, katanya, pensijilan halal yang dikeluarkan negara ini merupakan antara sijil yang tersohor dan diiktiraf di seluruh dunia sekali gus menarik minat banyak negara lain untuk mendapatkannya.

“Ketika lawatan saya ke Korea dan Jepun, mereka meminta supaya produk-produk halal Malaysia dapat dibawa ke negara-negara berkenaan bersempena acara antarabangsa kerana halal bukan hanya untuk orang Islam, halal untuk semua agama .

“Ini kerana sijil halal mempunyai Prosedur Operasi Standard daripada segi kebersihan yang dibuat secara saintifik. Inilah yang dihargai oleh pasaran dunia,” kata Zahid. – WD MY