SINGAPURA, 5 Mei – Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi komitmen
kedua-dua negara dalam memastikan kejayaan projek rel berkelajuan tinggi (HSR)
menghubungkan republik itu dan Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan selepas Pemukiman Pemimpin-Pemimpin
Singapura-Malaysia di sini, kedua-dua pemimpin bagaimanapun berkata sasaran awal
projek itu dijadual siap pada 2020 perlu dinilai semula berdasarkan skala dan
kompleksnya projek itu.

HSR adalah yang pertama seumpamanya di rantau ini dan telah mendapat banyak
perhatian, baik di dalam negara mahupun antarabangsa, dengan banyak negara
menawarkan untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka bagi projek itu.

Kedua-dua pemimpin juga amat teruja dengan sokongan dan perhatian daripada
komuniti global dan tidak sabar untuk meneruskan projek ikonik pencetus
perubahan itu, yang akan menambah baik rangkaian perhubungan, memudahkan
perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura dan pada masa sama meningkatkan
rangkaian perniagaan serta mengeratkan hubungan rakyat dengan rakyat.

Mengambil perhatian perkembangan projek itu berjalan lancar, kedua-dua
pemimpin berkata persetujuan telah dicapai bagi dwikonfigurasi lokasi bersama
Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), jalur frekuensi khusus untuk operasi HSR
serta mengenal pasti lokasi depot dan kemudahan yang stabil di Malaysia.

Singapura juga akan melaksanakan sistem pemeriksaan
automatik di semua kaunter motosikal di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas
menjelang akhir 2016, berbanding hanya suku daripadanya ketika ini.

Kaunter pemeriksaan automatik di pusat pemeriksaan di Singapura akan
mempercepatkan pemeriksaan imigresen terhadap motosikal sehingga 30 peratus dan
membantu mengurangkan kesesakan bagi semua pengguna di pusat pemeriksaan.

Malaysia sedang mengkaji pengenalan pelekat RFID (ID Frekuensi Radio) dalam
pasport bagi penunggang motosikal warga Malaysia yang akan membolehkan
pemeriksaan layan diri di Tambak.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua negara juga sedang berusaha untuk menambah
perkhidmatan tren yang sarat dengan penumpang antara Johor Baharu dan Pusat
Pemeriksaan Tren Woodlands.

Selain itu, Singapura juga sedang membangunkan projek BioScreen untuk merakam
dan mengenal pasti tanda label biometrik pelawat untuk memudahkan pemeriksaan
imigresen di pusat-pusat pemeriksaan di Singapura.

Kedua-dua pemimpin juga menyambut baik pemeteraian Perjanjian Tambahan
kepada Perjanjian di antara Malaysia dan Singapura Mengenai Pembinaan dan
Operasi Terminal Feri dan Perkhidmatan Feri di antara Semenanjung Malaysia dan
Singapura.

Mereka turut menegaskan pentingnya meningkatkan kerjasama ekonomi dua hala
dan membincangkan peluang dan cabaran dalam kerjasama perniagaan dan
perindustrian, dengan mengakui kemajuan dicapai oleh Kumpulan Kerja Kerjasama
Perindustrian (ICWG) di bawah JMC.

Mereka turut mengakui Iskandar Malaysia mendapat pelbagai faedah daripada
kerjasama itu dan aktiviti perindustrian lain, dan yakin pembangunan holistik
dan komprehensif di Iskandar Malaysia akan melengkapi keperluan di antara
Iskandar Malaysia dan Singapura.

Kedua-dua pemimpin juga menggesa ICWG meneruskan usahanya untuk meningkatkan
ekosistem Singapura-Malaysia menerusi kaedah menghubungi syarikat-syarikat yang
mempunyai rangkaian pelaburan sinergi di kedua-dua negara, terutamanya dalam
kejuruteraan bahan canggih, elektronik, perkhidmatan kreatif dan industri
makanan.

Mereka juga bersetuju untuk bekerja bersama-sama untuk merealisasikan
pelaksanaan sepenuhnya langkah-langkah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) sebelum
akhir tahun ini dan untuk meningkatkan lagi integrasi ekonomi pasca 2015.
-Siti Nurliya Abdul Rahman ( WD MY)

LEAVE A REPLY