KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Hadapan…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia kini berada di barisan hadapan dalam pasaran industri produk halal dunia.

Malaysia juga menjadi peneraju industri halal dengan penghasilan produk yang berkualiti tinggi di rantau Asia Tenggara.

Ahmad Zahid berkata beliau bangga dengan pencapaian industri halal yang bukan hanya mendapat kepercayaan kerajaan tetapi pihak luar sesuai dengan hasrat menjadikan Malaysia hab halal terulung dunia.

“Suka saya mengajak negara ASEAN yang lain bersama-sama dengan Malaysia memanfaatkan potensi dalam pasaran halal yang belum diterokai dan menjadikan satu peluang ekonomi baharu di rantau ini.

“Halal Fiesta ASEAN (HALFEST ASEAN 2017) yang dianjurkan ini bukan sekadar menunjukkan produk halal Malaysia dan industri berkaitan dengannya tetapi tempat untuk berkongsi pengalaman dan memberi peluang untuk lebih ramai menceburi pasaran halal.

“Saya percaya dengan kerjasama dan perkongsian pintar, bukan sekadar menghasilkan barang untuk kegunaan orang Islam semata-mata sebaliknya menawarkan produk berkualiti tinggi dan mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya berucap melancarkan HALFEST ASEAN 2017, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Rizuan Abd Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin.

Ekspo halal terbesar negara itu diadakan di Pusat Pameran Mines, Kuala Lumpur bermula hari ini hingga Ahad ini membabitkan lebih 550 ruang pameran dan kira-kira 60 peratus ialah peserta Bumiputera.

Kira-kira 100,000 pengunjung dijangka hadir dengan lebih 550 ruang pameran disediakan serta 6,000 produk dan perkhidmatan halal dipamerkan.

Ahmad Zahid berkata, produk halal bukan lagi produk kelas kedua sebaliknya barang yang berkualiti tinggi yang mampu menembusi pasaran dunia.

Katanya, pada masa ini, Malaysia mengenal pasti industri halal sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi berdasarkan kepada nilai pasaran halal global yang amat besar.

“Saiz pasaran ini akan terus berkembang berdasarkan peningkatan kesedaran dan permintaan kepada produk dan perkhidmatan halal daripada 1.8 bilion penduduk Islam dari seluruh dunia.

“Ini adalah penguasaan 23 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia dan dianggarkan meningkat kepada 27 peratus menjelang 2030,” katanya. – WD MY