KUALA LUMPUR, 16 Julai – Tidak Sekat…… Pihak Kerajaan belum bercadang menyekat penggunaan aplikasi Telegram di negara ini walaupun diharamkan oleh kerajaan Indonesia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya mendapati tiada aktiviti keganasan dijalankan menggunakan aplikasi terbabit di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Unit Antikeganasan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau aplikasi itu untuk mengesan unsur membabitkan keganasan.

“Saya sudah meneliti arahan kerajaan Indonesia membatalkan kegunaan aplikasi itu (Telegram) dalam kalangan rakyat negara berkenaan kerana wujud unsur keganasan dan pelbagai elemen lain dalam Telegram.

“Setakat ini, penelitian kami mendapati aplikasi itu di negara ini tidak mempunyai unsur keganasan seperti kegiatan merekrut atau memperoleh pembiayaan bagi aktiviti keganasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jakel Mall, di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Indonesia mengharamkan penggunaan Telegram selepas mendapati wujud unsur keganasan melalui aplikasi terbabit. – WD MY