KUALA LUMPUR, 17 Okt – Tuan Rumah……. Malaysia terpilih menjadi tuan rumah
Kejohanan Lumba Basikal Asia 2018 (ACC 2018) selepas Thailand dan Korea Selatan
menarik diri dari pembidaan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah
Abd Wahab berkata keputusan sebulat suara itu dibuat dalam mesyuarat
Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC 2016 di Qatar semalam.

Beliau berkata dengan pemilihan Malaysia selaku tuan rumah, ia memberi
laluan mudah kepada tiga pelumba negara khususnya Mohd Azizulhasni Awang, Mohd
Shah Firdaus Sahrom dan Fatehah Mustapa untuk mengutip mata kelayakan ke Sukan
Olimpik 2020 di Tokyo nanti.

“Awalnya Thailand dan Korea Selatan berkeras untuk mengekalkan pembidaan
masing-masing sehingga memaksa wakil Malaysia Datuk Amarjit Singh memberi
penerangan secara menyeluruh.

“Dalam penerangan tersebut, Amarjit berjaya meyakinkan panel pemilihan
bahawa Malaysia perlu menjadi tuan rumah ACC 2018 secara merit,” katanya dalam
satu kenyataan media hari ini.

Menurut Abu Samah, Malaysia hanya akan menganjurkan acara trek manakala
Myanmar dipilih sebagai tuan rumah untuk acara lebuh raya.

Difahamkan, Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak dipilih untuk menjadi venue bagi
kejohanan berkenaan. – WD MY