PUTRAJAYA, 10 Julai – Minta Penjelasan…… Wisma Putra mahukan penjelasan Kementerian Luar Indonesia berhubung laporan pihak berkuasa negara itu melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap pelawat asing termasuk dari Malaysia, di lapangan terbangnya.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata pihaknya belum dimaklumkan secara rasmi mengenai cadangan pelaksanaan pemeriksaan keselamatan terbabit.

“Kementerian Luar sedia maklum bahawa pihak berkuasa lapangan terbang sentiasa menjalankan pemeriksaan keselamatan secara rawak ke atas penumpang dari luar negara.

“Malaysia dan Indonesia mempunyai kerjasama baik dalam menangani jenayah rentas sempadan termasuk ancaman dadah yang ditangani secara bersama oleh pihak berkuasa kedua-dua negara,” katanya.

Semalam, beberapa media Indonesia melaporkan, rakyat Malaysia dan Singapura yang memasuki republik itu bagi sebarang tujuan akan dikenakan pengawasan ketat dan pemeriksaan menyeluruh secara rawak tidak lama lagi.

Mereka memetik kenyataan akhbar syarikat pengendali lapangan terbang di Indonesia, PT Angkasa Pura II, yang memaklumkan pengawasan dan pemeriksaan ketat itu bagi memastikan rakyat Malaysia dan Singapura yang memasuki Indonesia tidak membawa barangan terlarang terutama dadah.

Direktor utama PT Angkasa Pura II, Budi Karya Sumadi dipetik berkata, tindakan itu diambil berikutan kebanyakan kes penyeludupan dadah ke negara itu membabitkan rakyat dari kedua-dua negara berkenaan.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya sedang menunggu surat rasmi arahan Kementerian Perhubungan Indonesia untuk menguatkuasa peraturan baharu itu terhadap rakyat atau penumpang pesawat dari Malaysia dan Singapura.

Katanya, pergerakan rakyat Malaysia dan Singapura di lapangan terbang akan dipantau pasukan peronda khas yang tidak memakai pakaian seragam dan mereka akan menahan sesiapa saja yang mencurigakan untuk pemeriksaan secara tertutup.

Sebelum ini, Menteri Perhubungan Indonesia, Ignasius Jonan, dalam satu kenyataan mengarahkan pihak berkuasa di lapangan terbang membuat pemeriksaan menyeluruh secara rawak terhadap rakyat asing yang memasuki Indonesia berikutan terdapat banyak kes penyeludupan dadah ke negara itu berlaku melalui jalan udara. – WD MY

LEAVE A REPLY