KUALA LUMPUR, 1 April – Laluan…… Syarikat Penerbangan Malindo Air melancarkan penerbangan harian dari Kuala Lumpur ke Brisbane melalui Denpasar di Bali, sebagai destinasi keduanya di Australia, selepas Perth.

Tambang promosi penerbangan sehala bagi laluan baharu itu bermula daripada RM1,049 bagi kelas ekonomi dan RM2,369 untuk kelas perniagaan, semuanya termasuk manfaat sampingan peruntukan bagasi percuma, hiburan dan sajian dalam penerbangan.

Menurut syarikat itu, penerbangan OD157 akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setiap hari pada 6.05 petang bermula hari ini dan tiba di Lapangan Terbang Ngurah Rai, Denpasar pada 9.10 malam.

Penerbangan itu kemudian berlepas dari Denpasar pada 10.00 malam dan tiba di Brisbane pada 5.40 pagi.

Penerbangan pulang OD158 berlepas dari Brisbane pada 7.15 pagi dan tiba di Denpasar pada 11.45 pagi. Selepas melakukan singgahan selama sejam, ia akan berlepas dari Denpasar pada 12.45 petang dan tiba di KLIA pada 3.45 petang.

Ketua Pegawai Eksekutif, Chandran Rama Muthy, berkata dengan bermulanya laluan baharu itu, ia akan menyokong lagi hubungan kukuh ekonomi, perniagaan dan pelancongan yang pesat membangun antara Malaysia dan Australia.

“Ia juga meningkatkan sambungan antara Kuala Lumpur dan Brisbane ke destinasi lain dalam rangkaian penerbangan Malindo Air yang semakin berkembang, terutama ke Indonesia, Thailand, China, Hong Kong, Vietnam, India, Nepal dan Bangladesh,” katanya.

Beliau berkata, terdapat peluang pertumbuhan yang amat besar pada masa depan berkaitan dengan sambungan baharu ini kerana Brisbane adalah hab perniagaan komersial yang penting dan pintu masuk pelancongan ke salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO di Australia, iaitu Terumbu Karang Barrier Reef dan Gold Coast.

Pesawat Boeing 737NG yang mempunyai 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 150 tempat duduk kelas ekonomi, akan digunakan bagi laluan baharu itu. – WD MY