KUALA LUMPUR, 29 Okt – Malindo Air dijangka menerima serahan
pesawat Boeing ke-16 bulan depan, mengakhiri tahun ini dengan beberapa kejayaan
di samping pengumuman laluan baharu ke Australia, China dan destinasi lain di
Asia.

Syarikat penerbangan hibrid Malaysia itu menerima pesawat Boeing ke-15 pada
Rabu dengan nombor pendaftaran 9M-LNV, yang tiba di Subang Skypark dari Seattle,
Amerika Syarikat.

“Pesawat baharu itu akan beroperasi di laluan serantau kerana syarikat
menumpukan untuk mengembangkan rangkaian laluannya di peringkat antarabangsa
tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Chandran Rama Muthy dalam satu
kenyataan hari ini.

Beliau berkata permintaan bagi syarikat penerbangan itu untuk menyambung
destinasi-ke-destinasi antara bandar dan laluan yang belum dimanfaatkan di Asia
Tenggara akan dapat menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke rantau ini dan
ke negara ini.

Dengan ketibaan pesawat Boeing Ke-15 itu menjadikan jumlah kesemua pesawat
Malindo Air sebanyak 26, termasuk 11 pesawat turboprop ATR. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY