KUALA LUMPUR, OKTOBER 24: ROYALTI… Ahli Parlimen Pas membangkitkan persoalan berkaitan royalti minyak milik Kelantan yang masih belum diterima sehingga kini.

Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang-Pas) berkata empat negeri pengeluar minyak termasuk Kelantan sepatutnya mempunyai hasil yang lumayan

“Tetapi apa yang berlaku hari ini, keempat-empat negeri ini dikategorikan negeri miskin. Kenapa berlaku demikian? Kerana hak rakyat tidak dikembalikan. Kenapa dinafikan hak?

“Kami rakyat Kelantan tidak akan reda walaupun 1 sen hak royalti rakyat Kelantan tidak dibayar. Pemimpin-pemimpin yang mengkhianati janji kepada rakyat bukan setakat bertanggungjawab di dunia tapi sampai ke akhirat.

“Saya ingat lagi perdana menteri menjawab soalan saya dulu bahawa kerajaan akan menunaikan janji, beri royalti kepada Kelantan tapi sampai hari ini tidak ada apa-apa,” katanya ketika mencelah perbahasan Ahmad Amzad Hashim (Kuala Terengganu-Pas).

Sementara itu, Ahmad menuntut penjelasan kerajaan berhubung dakwaan Petronas telah membayar royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak.

“Petronas menjelaskan telah membayar royalti kepada Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Tapi gambaran yang diberikan ketika ini yang menjadi keluh kesah terutama rakyat Kelantan dan Terengganu, di Sabah dan Sarawak dapat bayaran penuh.

“Perjanjian yang sama tapi Terengganu tidak mendapat sepenuhnya, Kelantan tidak terima langsung,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Ahmad turut melahirkan kekecewaannya atas perkembangan itu.

“Kerajaan PH dulu melaungkan soal kesaksamaan, keadilan malah saya pernah bersama-sama dalam perjuangan royalti sebelum PRU13.

“Kita pernah bawa Ahli Parlimen Port Dickson sekarang, tandatangan pula menyokong royalti 20 peratus termasuk di Kelantan tapi apa yang berlaku hari ini sangat menimbulkan persoalan.

“Saya mengharapkan tidak berlaku ‘double standard’ dalam pembahagian kerana kita ada perjanjian,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kerajaan PH agar tidak mengulang perlakuan BN dulu

“Saya kalau boleh tak nak mempolitikkan isu ini. Dalam keadaan kerajaan sekarang ini, kita mahu beri kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan apa yang disebut dalam RMK11 tetapi bermulalah dengan cara yang baik.

“Jangan mengulangi apa yang pernah kita tentang sebelum ini. Hanya kerana perbezaan politik…perkara seperti ini tidak sepatutnya timbul,” katanya.-MY WD