PUTRAJAYA,OKTOBER 19 – LUAHAN…….¬†Anak perempuan kepada Presiden Umno Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mempersoalkan di mana pejuang-pejuang reformasi ketika bapanya ditangkap.

Bercakap di hadapan kira-kira 200 penyokong dan petugas media di depan bangunan SPRM petang ini, Nurulhidayah berkata beliau tidak sedih dengan penahanan bapanya tetapi ‘ terlalu geram dan benci’.

“Saya terlalu geram dan benci, perasaan ini saya simpan dari tahun 1998. Saya bercerita pasal orang malam ini dikurung oleh orang sama bernama Mahathir Mohamad.

“Di mana pelaung-pelaung reformasi seperti Hishamuddin Rais? Mana sahabat-sahabat universiti saya? Mana Anwar Ibrahim yang pertahankan reformasi?

“Tidakkah Anwar dan Nurul Izzah nampak apa yang berlaku?” soalnya.

Zahid pernah menjadi penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehari selepas bekas timbalan perdana menteri itu ditangkap di bawah akta yang sama.

Turut hadir dalam himpunan solidariti itu ialah isteri Zahid, Hamidah Khamis, anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam, bekas pengarah bahagian komunikasi strategik Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Tun Faisal Ismail Aziz dan pelakon Ellie Suriati.

Hamidah dalam ucapannya berkata beliau merancang mengadakan jelajah di seluruh negara bersama Lokman bagi mendapatkan kembali kepercayaan rakyat, dan meningatkan mereka terutama golongan muda terhadap sejarah penangkapan Zahid di bawah ISA.

“Budak sekarang tak dapat benda (sejarah) tu dan itu buat mereka leka,” katanya.

Selain itu beliau juga mengingatkan bekas pemimpin Umno yang meninggalkan parti itu bahawa mereka tidak akan mudah mendapat kedudukan dalam parti yang baru mereka sertai.

“Jangan harap mereka yang keluar dari Umno akan dapat kedudukan, mereka yang keluar jangan harus kita terima mereka dalam Umno,” katanya.

Hamidah juga berkata tidak mustahil Malaysia akan dilanda bencana seperti berlaku di Sulawesi, Indonesia sekiranya kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan pesta arak tidak dihalang.

“Tak mustahil calamity seperti yang berlaku di Sulawesi berlaku di Malaysia. Kalau masalah LGBT dan minuman keras tak diatasi, kita akan mengalami masalah yang sama,” katanya.