KUALA TERENGGANU, 26 Feb – MANDAT….. ┬áTimbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan negeri amat memerlukan kesinambungan mandat untuk mentadbir Terengganu bagi membawa lebih kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat.

Beliau berkata selain menjadikan kerajaan negeri Terengganu yang lebih mantap, mandat yang lebih besar juga akan mendorong sokongan padu daripada kerajaan Persekutuan.

“Kita tahu kesinambungan mandat ini amat diperlukan untuk kerajaan Terengganu menjadi lebih mantap dan mendapat sokongan padu pimpinan atasan,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Terengganu 2018 di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis.

Ahmad Zahid berkata perancangan dan pelaksanaan berfokus yang dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu banyak memberi faedah secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat.

Beliau berkata pelbagai faedah itu dapat dilihat seperti yang dipamerkan pada Ekspo Terengganu 2018 yang merangkumi pelbagai bidang.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat memberi sokongan yang lebih besar kepada kerajaan negeri Terengganu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) supaya kesinambungan pembangunan negeri dapat diteruskan.

Ahmad Zahid berpuas hati dengan semangat kepimpinan berpasukan yang tidak membiarkan Ahmad Razif keseorangan dalam mentadbir negeri sehingga menjadikan negeri ini lebih membangun. – WD MY