ALOR SETAR, 18 Nov – BERKURANGAN….. Jumlah mangsa banjir kilat di beberapa tempat di Kedah pukul 8 pagi ini terus menurun kepada 54 orang berbanding 212 orang malam tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kubang Pasu Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, hanya dua pusat pemindahan yang menempatkan 14 keluarga dibuka di Kubang Pasu.

Di mukim Jitra, terdapat 24 mangsa ditempatkan di Dewan Tokong Cina, manakala di Dewan kubur Siam yang sebelum ini menempatkan 158 mangsa banjir telah pun ditutup kira-kira pukul 9 malam tadi dan kesemua mangsa telah dibenarkan pulang.

Di mukim Malau, jumlah mangsa kekal 30 orang yang masih ditempatkan di pusat pemindahan di Kampung Lahar.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah mangsa banjir dijangka akan terus berkurangan berikutan kebanyakan kawasan mulai surut dan melancarkan aliran air ke sungai.

Kemungkinan beberapa pusat pemindahan akan ditutup jika cuaca cerah hari ini, katanya. -WD MY