KUCHING, 21 Feb – Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan meningkat kepada 2,869 mangsa daripada 779 keluarga sehingga jam 6 pagi tadi berbanding 722 mangsa dari 202 keluarga, semalam.

Jurucakap Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata peningkatan jumlah mangsa banjir itu menyaksikan penambahan beberapa pusat pemindahan baharu membabitkan daerah Kuching, Bau, Padawan, Serian dan Kota Samarahan.

“Antara pusat pemindahan yang dibuka lewat petang semalam ialah Dewan Masyarakat Wawasan Kampung Sebuak, Dewan Masyarakat Stapok, Masjid Darul Salihin Kampung Landeh, Dewan Serbaguna Kampung Sandong dan bangunan kedai baru Batu Kawa Rantau Panjang di Kuching.

“Di Bau pula, pusat pemindahan diaktifkan ialah membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Siniawan, Surau Darul Hidayah, Masjid Darul Ehsan Kampung Buso serta Surau Darul Taqwa Kranji, selain Dewan Serbaguna Balai Bomba Siburan di Serian,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Keseluruhannya, di daerah Kuching mempunyai lapan pusat pemindahan, Bau (9), Serian (3) dan Kota Samarahan (2). – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY