MELAKA, 16 Ogos – Meningkat….. Mangsa banjir di dua daerah di Alor Gajah dan Jasin di sini, mencatat peningkatan kepada 659 orang berbanding 522 sebelum ini.

Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata hujan lebat berterusan menyebabkan paras air meningkat, sekali gus memaksa penduduk dipindahkan.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, sebanyak 10 pusat pemindahan dibuka termasuk dua pusat pemindahan baharu iaitu masing-masing di Balai Raya Air Tawar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam.

“Seramai 102 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan SK Tehel, Balai Raya Seri Mendapat (45), Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum Keluarga (243), SK Tedong (94) dan Balai Raya Air Tawar (24).

“Balai Raya Kampung Seri Jeram (9), Balai Raya Bukit Balai (9), Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Kampung Pulau (20), Balai Raya Kampung Panchor/ Masjid Panchor (76) dan SK Belimbing Dalam (37),” katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Hujan lebat tidak menentu sejak awal Jumaat lalu menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air, dengan lebih 500 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan di tiga daerah di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin. – WD MY