KUALA TERENGGANU, 14 DIS – MENINGKAT…. Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 950 orang daripada 327 keluarga berbanding 749 mangsa daripada 258 keluarga.

Semua mangsa ditempatkan di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata jumlah paling ramai dicatatkan di Hulu Terengganu membabitkan 645 orang daripada 257 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS berbanding 479 orang daripada 194 keluarga.

“Kemaman juga menunjukkan peningkatan jumlah mangsa kepada 292 orang daripada 67 keluarga yang ditempatkan di lima PPS berbanding 257 orang daripada 61 keluarga.

“Mangsa di Setiu bagaimanapun tidak berubah iaitu 13 orang daripada tiga keluarga yang ditempatkan di satu PPS,” katanya malam tadi.

Beliau yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri berkata, sebanyak tujuh jalan di negeri ini ditutup untuk semua kenderaan, manakala enam lagi ditutup untuk kenderaan ringan.

“Jalan yang ditutup kepada semua kenderaan adalah di Hulu Terengganu membabitkan Jalan Simpang Gaung – Simpang Sungai Tong di Kampung Kepoh dan Kampung Kuala Ping serta Jalan Bukit Diman – Tersat (Kampung Pengkalan Ajal).

“Di Setiu membabitkan Jalan Permaisuri/Hulu Seladang (Kampung Besut), Jalang Pengkalan Merbau/Pelong (Kampung Seri Kenangan) dan Jalan Kampung Bukit/Alor Lik (Kampung Bukit) manakala di Kemaman pula di Teladas Air Putih (Jambatan Lama Teladas),” katanya.

Menurutnya, jalan yang ditutup kepada kenderaan ringan pula membabitkan Jalan Simpang Gaung – Simpang Sungai Tong (Kampung Matang), Jalan Matang/Nibong/Kuala Telemong (Kampung Matang) dan Jalan Batu 24/Pengkalan Ajal (Kampung Pasir Pelata) di Hulu Terengganu.

“Di Kemaman pula membabitkan Jalan Felda Neram 2 (Ladang Sawit), dua seksyen di Jalan Pelantoh (Kampung Tebak) dan Jalan Ibok (Darat Ibok),” katanya. – WD MY