IPOH, 19 Nov – Jumlah mangsa banjir di Perak sehingga jam 12 tengah hari ini meningkat kepada 285 orang berbanding 242 orang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Yahya Madif, berkata mangsa banjir di daerah Hilir Perak meningkat kepada 171 orang daripada 53 keluarga dan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan.

“Mangsa banjir di Changkat Lobak, Matang Tengah dan Kampung Air Hitam di Bagan Serai kekal dengan jumlah 44 orang daripada 11 keluarga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yahya berkata kesemua mangsa tersebut ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, Bagan Serai.

Katanya mangsa tanah runtuh di Pantai Remis membabitkan Kampung Padang Serai, Pengkalan Bharu masih kekal dengan 70 orang daripada 18 keluarga dan mereka dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama Rakyat Radhuaniah Kampung Padang Serai, Batu Hampar, Beruas.

“Mangsa banjir dari Kampung Parit 6 pula yang ditempatkan di Surau Nurul Jannah, Batu 6, Parit sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing 9 pagi tadi selepas keadaan rumah mereka selamat diduduki,” katanya. -Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY