JELI, 20 Jun – Kesemua 43 keluarga mangsa banjir yang tinggal di
khemah di penempatan sementara Bandar Utama Gua Musang, akan dipindahkan segera
ke Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani Gua Musang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan Datuk Seri
Mustapa Mohamed, pemindahan secara berperingkat itu sedang dilakukan dan
dijangka mereka dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri di kem PLKN itu.

Mereka akan tinggal di kem berkenaan sehingga rumah kekal yang sedang dibina
kerajaan siap tidak lama lagi, katanya kepada media selepas majlis berbuka
puasa Parlimen Jeli di sini, malam tadi.

Mereka ditempatkan sementara di khemah yang disediakan kerajaan sejak
bencana banjir memusnahkan rumah mereka Disember lepas.

Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli dan Menteri Perdagangan Antarabangsa
dan Industri, berkata Unit Pemulihan Pasca Banjir Jabatan Perdana Menteri dan
Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menguruskan pemindahan mangsa banjir itu
ke kem PLKN berkenaan.

Beliau berkata kerajaan akan menyediakan beberapa kemudahan untuk mangsa
banjir yang ditempatkan di kem PLKN itu termasuk bas untuk membawa anak-anak
mereka ke sekolah. -Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY