KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – MANGSA… Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga sahabat yang lemas di Pantai Teluk Kalong, Kijal, Kemaman, sejak petang kelmarin tamat pagi ini, selepas mayat mangsa terakhir ditemui jam 9.45 pagi ini.

Mayat Khairul Ikmal Danial Zamzuradi ditemui terdampar pada jarak 2.1 kilometer dari Pos Kawalan Bomba di pantai itu.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah, berkata mayat mangsa ditemui anggota pasukan SAR di gigi air pantai itu.

“Alhamdulillah akhirnya semua mangsa berjaya ditemui dan operasi ditamatkan jam 11 pagi ini.

“Pengecaman mayat mangsa dibuat oleh ahli keluarganya dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum boleh dituntut untuk urusan pengebumian.

“Kita berharap semua ahli keluarga tabah menerima ketentuan ini,” katanya hari ini.

Khairul Ikmal yang juga pelajar Diploma Pengajian Perniagaan Politeknik Kok Lanas, Kelantan, bersama dua lagi sahabatnya, Shahir Aqil Shahrun dan Ahmad Daniel Firdaus Zubir lemas selepas mandi di pantai itu bersama empat lagi bekas rakan sekolah jam 6.20 petang kelmarin.

Semua mangsa berusia 19 tahun dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Kemaman.-WD MY