KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Mangsa Tertimbus…. Seorang terselamat, manakala seorang lagi dikhuatiri maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah sedalam enam meter di tapak pembinaan di Jalan Segambut Dalam, berhampiran jambatan Lebuhraya Utara Selatan, di sini, petang tadi.

Mangsa terselamat dikenali sebagai Mohd Saffiee Mohd Saibi, 28, dari Kota Belud, Sabah manakala mangsa yang masih tertimbus adalah seorang warga negara Indonesia.

Lokasi kejadian adalah tapak pembinaan sebuah kondominium dan kedua-dua mangsa adalah pekerja kontrak di situ.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 3.57 petang, sebelum menggerakkan 12 anggota dari Balai Bomba Sri Hartamas dan Balai Bomba Taman Tun Dr Ismail bagi membantu operasi menyelamat.

“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan dan masih hidup. Dia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan kenderaan awam untuk menerima rawatan.

“Setakat ini, kita masih berusaha untuk mengeluarkan mangsa kedua. Operasi berdepan kesukaran kerana kawasan tanah di situ berair,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Ruslan Lok, berkata tiga anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) turut dikejarkan ke lokasi bagi membantu pihak bomba dalam operasi menyelamat mangsa. – WD MY

LEAVE A REPLY