KUALA LUMPUR, APRIL 4: MANIFESTO…Pada Sabtu ini, Manifesto Barisan Nasional (BN) akan dilancarkan dimana manifesto ini akan mengubah¬† persepsi rakyat khususnya, orang muda terhadap pentadbiran kerajaan BN untuk membolehkan parti menang majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Selain itu, Pemuda BN juga akan mengumumkan manifesto tambahan yang memberi tumpuan kepada generasi muda yang dinamakan ‘Tawaran Baharu Untuk Pengundi Muda’ pada 10 April ini.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap, berkata beliau yakin manifesto itu dapat membuka mata rakyat untuk menilai niat dan perancangan masa depan kerajaan kerana ia dihasilkan serta diperhalusi daripada kehendak serta hak disuarakan rakyat.

“Saya yakin pengundi tetap pilih biru (BN) pada PRU-14 dan pelancaran manifesto BN adalah untuk kita melihat pembangunan sosial dan ekonomi, yang direka khusus untuk rakyat.

“Ini (manifesto) semua untuk rakyat, bukti kita (kerajaan) mendengar denyut nadi rakyat, adalah asam garam kehidupan BN. Manifesto untuk orang muda ini akan mengubah persepsi rakyat dan kita akan menang besar majoriti dua pertiga.

“(Manifesto) ini susulan kepada wawasan orang muda yang masih tidak selesai. Buku (manifesto) akan kita persembahkan kepada rakyat, idea yang membuatkan pengundi menilai semula sejauh mana BN, sebagai tonggak parti yang memerintah negara dan legasi pemerintahan negara. Orang muda mahu lihat kepemimpinan yang dinamik, konsisten, dan tidak membuat pusingan,” katanya.-MY WD