HUTAN MELINTANG, 20 April — KHAS….. Manifesto Barisan Nasional (BN) khas untuk rakyat Bagan Datuk bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan dilancarkan pada 28 April ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata manifesto yang mengambil kira kepentingan semua kaum itu dijangka diumumkan di Dewan Hajah Tuminah di Kampung Nipah Darat, Bagan Datuk di sini.

“Manifesto ini mengambil kira semua kaum iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asli kerana pada kali ini kita ada lapan orang pengundi Orang Asli.

Kita akan berlaku adil pada semua. Ini bukan janji kosong, yang tak janji pun kita buat inikan pula yang kita janjikan,” katanya petang semalam.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya.

 

Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk berkata beliau berjanji akan melaksanakan segala akujanji dalam manifesto khas itu.

“Saya Ahmad Zahid berjanji, mesti janji itu saya tepati. Inilah yang turut dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun beliau difitnah dengan pelbagai tohmahan, namun tetap teguh dan kukuh kerana beliau tahu rakyat yang menjadi pengundi senyap tetap bersama-sama BN,” katanya.

Ahmad Zahid kemudiannya bertemu dengan masyarakat India dalam Program Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Kampung Bernam, Batu 11 di Hutan Melintang.

 

Dalam ucapannya Timbalan Perdana Menteri menyeru pengundi masyarakat India di Hutan Melintang untuk menyokong kepimpinan BN, sekali gus merampas kembali kerusi DUN Hutan Melintang daripada PKR.

“Dulu PRU13 (pengundi Hutan Melintang) ada buat silap sikit tapi saya maafkan. Tapi PRU14 saya minta sokong calon BN kerana kita boleh bawa kemajuan khasnya di Hutan Melintang dan amnya di Bagan Datuk.

“Mungkin Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan beri peluang untuk saya sekali lagi bertanding di Bagan Datuk. Jadi kali ini saya minta semua parti politik wakili masyarakat India, Cina dan Melayu kita kena bersatu dan sokong BN kerana dulu sudah dua kali kawasan Hutan Melintang orang lain (pembangkang) wakili,” katanya. – WD MY