BAGAN DATUK, 21 April – MANIFESTO….. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebahagian manifesto khas untuk masyarakat India di Bagan Datuk akan membabitkan kebajikan dan pendidikan kaum itu di kawasan berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, antara yang terkandung dalam manifesto yang akan diumumkan Sabtu depan itu ialah perkhidmatan krematorium percuma serta tuisyen percuma kepada anak-anak masyarakat India di daerah itu.

Selain itu, katanya, peluang melanjutkan pelajaran untuk program Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) turut disediakan kepada kaum India di Politeknik Bagan Datuk dan Kolej Komuniti Bagan Datuk.

“Masyarakat India akan diberikan peluang pekerjaan dalam pelbagai industri yang sedang dibina di Bagan Datuk, sebanyak 10,000 peluang pekerjaan di daerah ini sedang diusahakan dan akan dilancarkan.

“Kita (Barisan Nasional) juga melalui Jabatan Pendaftaran Negara akan memberi kad pengenalan kepada anak-anak masyarakat India yang layak dan ini dilakukan sepanjang tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Program Kalvi Viratham bersama komuniti India Jendarata di Ladang Jendarata hari ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau juga akan melantik seorang setiausaha politik daripada kalangan masyarakat India di Bagan Datuk yang akan bertugas di Pejabat Timbalan Perdana Menteri bertujuan membantu masyarakat India di Bagan Datuk dan di seluruh negara.

“Saya juga akan memberikan peruntukan kepada SMC sebanyak RM10 juta selepas PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) iaitu sebanyak RM2 juta setiap tahun selama lima tahun, belum cukup lagi, kalau SMC berjaya naikkan keputusan peperiksaan anak-anak masyarakat India saya akan beri dua kali ganda peruntukan.

“Saya juga akan berikan mana-mana anak atau pelajar masyarakat India, Melayu dan Cina yang dapat 5A ke atas dalam peperiksaan sebanyak RM1,000 bukan lagi RM500,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, itu adalah sebahagian daripada manifesto untuk masyaraka t India di Bagan Datuk yang akan dilancarkan. -WD MY