PADANG TERAP, APRIL 21:MANIFESTO…Janji pakatan pembangkang untuk menyelesaikan masalah air di Kedah dalam tempoh 100 hari jika berjaya membentuk kerajaan negeri, disifatkan sebagai tawaran temberang sahaja.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menyifatkan tawaran itu sebagai tindakan populis dan tidak realistik, yang hanya bermotifkan mencari sokongan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, pakatan pembangkang Kedah yang diketuai Datuk Seri Mukhriz Mahathir seharusnya lebih tahu tawaran itu sukar dilaksanakan kerana membabitkan banyak perkara.

“Mukhriz pernah menjadi Menteri Besar Kedah… dia sepatutnya tahu masalah air tidak boleh selesai dalam 100 hari. Mereka ini hanya temberang saja dan menawarkan sesuatu yang bersifat populis.

“Demi mahu jadi popular, mereka meletakkan satu jangka masa begitu pendek untuk selesaikan isu ini…. mana mungkin ia boleh dilakukan kerana masalah bekalan air membabitkan air mentah, aspek takungan, pemprosesan air, penyaluran air kepada penduduk dan industri.

“Di sini ada tiga perkara penting perlu diselesaikan. Ada tempat di mana sumber air tidak cukup, ada yang jauh dan berbukit, malah jika membabitkan paip, mungkin perlu gantikan paip yang lebih besar dan jika berkaitan loji, ia perlu diperbaiki ataupun ditambah.

“Bayangkan jika tambah loji, ia tidak akan berlaku dalam jangka masa singkat kerana semua ini membabitkan jawatankuasa, kewangan, pasukan profesional dan sasaran pelaksanaan, maka barulah ia boleh dilakukan.

“Tempoh masa (diperlukan), bukannya dalam 100 hari kerana paling kurang pun setahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Bil 6/2018 di Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang di sini, hari ini.-MY WD