KOTA MARUDU: pbs….Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan segmen khusus kepada Sabah dan Sarawak yang begitu terperinci dalam Manifesto Barisan Nasional (BN), mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap komitmen kerajaan membangunkan kedua-dua negeri.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata manifesto itu mempunyai visi jangka panjang dengan pengisian sempurna dan komprehensif, membawa rakyat melintasi sasaran sebagai negara maju pada 2020.

Katanya, kandungan manifesto seperti penyukatan tanah adat, pengwujudan institusi pengajaran bahasa Dayak dan Kadazandusun termasuk penubuhan Institut Kajian Pribumi dan Penduduk Asli bukti keterbukaan kerajaan mengembalikan kepentingan dua negeri itu.

“Selain itu, projek perintis penubuhan sekolah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di Sabah dan Sarawak, apatah lagi bantuan kebajikan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), semuanya penting dan dekat di hati rakyat negeri ini.

“Kita sangat berpuas hati dengan manifesto yang begitu komprehensif, inklusif dan berpandangan jauh sekali. Biarpun ia bukan dasar baharu, tetapi pengisian ini menyempurnakan langkah kita memasuki ambang 2020 dan melintasi sasaran itu,” katanya pada Program Santai Pemimpin Bersama Rakyat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Goshen, di sini, malam tadi.

Maximus yang juga penyandang Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, keterbukaan Kerajaan Pusat mengembalikan kuasa mengurus dan mentadbir perihal elektrik dan gas juga jaminan hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak dipulangkan.

Katanya, perkara itu tidak pernah disentuh dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini terutama ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

“Bagi dia (Dr Mahathir), perihal membangkitkan hak dan kuasa Sabah adalah sesuatu yang dilarang, saya sendiri pernah dimasukkan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mengungkit apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

“Tiada salah meneliti semula MA63 supaya kemakmuran boleh dikongsi,” katanya.

Berbanding pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Maximus berkata, ia memberi kelas yang tinggi kepada rakyat dan beliau yakin manifesto itu memikat hati rakyat terus menyokong BN.-MY WD