KOTA KINABALU, APRIL 8: MANIFESTO….Manifesto Barisan Nasional (BN) jauh lebih ke hadapan dalam pemerkasaan Sabah dan Sarawak berbanding Pakatan Harapan (PH).

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata manifesto diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malam tadi, bersifat inklusif, realistik dan berkesinambungan dengan usaha sudah dilakukan kerajaan.

 Beliau yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, manifesto BN turut menekankan sifat konsensus dan perkongsian kuasa sebenar antara negeri dengan Pusat, di samping konsisten dengan agenda memperkasakan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Mengenali Perdana Menteri, saya yakin dengan ketulusan beliau memperbetulkan kesilapan dan kesalahan pihak kerajaan Persekutuan, khususnya pada zaman sentralisasi kuasa bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir (Mohamad) dahulu.

“Malah, cadangan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menyemak MA63 dalam Manifesto PH adalah bertindih kerana sudahpun dilakukan kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib.

“Saya sendiri mempengerusikan jawatankuasa itu, sekali gus menunjukkan betapa PH sebenarnya tidak peka dengan sebarang perkembangan berkaitan MA63,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Justeru, Anifah yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis, berkata demi kesinambungan dan pembangunan berterusan rakyat Sabah, beliau berharap sokongan dan mandat terus diberikan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Manifesto BN untuk PRU-14 antara lain menggariskan bahawa hak Sabah dan Sarawak bawah MA63 akan direalisasikan secara konsensus.-MY WD