KUALA TERENGGANU, 2 Jun – LANTIK….. Mantan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin bakal dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) berkuatkuasa 20 Jun ini.

Majlis Angkatan Tentera yang bermesyuarat pada Khamis sebulat suara memilih Zulkifli untuk menggantikan Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bagi menerajui ‘kerusi’ tertinggi angkatan tentera itu.

Majlis Angkatan Tentera yang secara tradisinya dipengerusikan Menteri Pertahanan dan dianggotai tiga panglima tentera, mempunyai kuasa penuh menentukan antaranya perlantikan, kenaikan pangkat dan isu disiplin dalam angkatan tentera.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pihak media menghubungi Zulkifli yang juga pakar penembak tepat, taktik persenjataan dan pemberontakan mengesahkan mengenai perlantikan itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Sumber memberitahu bahawa Zulkifli yang sepatutnya bersara wajib 30 November depan, kini sedang bercuti pra persaraan sejak 15 Mei selepas melepaskan jawatannya sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM).

Jawatan berkenaan kini diisi Ketua Markas ATM Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal.

Sumber industri pertahanan menyifatkan kembalinya Zulkifli dalam tampuk tertinggi angkatan bersenjata negara itu adalah langkah tepat selepas lima tahun beliau ‘dipinggirkan’.

“Ini boleh disifatkan sebagai masa pembalasan apabila jawatan Panglima Tentera Darat yang dipegang Zulkifli sebelum ini, diberikan kepada Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tanpa rela pada 14 Jun 2013,” kata sumber berkenaan.

Zulkifli dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) pada 14 Jun 2011, sebelum dipindahkan untuk menjadi Naib Canselor UPNM.

Ia berlaku ketika kemuncak serangan militan Sulu di Lahad Datu pada 2013 apabila Zulkifli dikatakan tidak sependapat dengan pucuk pimpinan Kementerian Pertahanan.

“Pertama kali dalam sejarah seorang jeneral ’empat bintang’ dilantik menjadi naib canselor UPNM, jawatan yang sebelum ini dipegang Leftenan Jeneral ‘tiga bintang’.

“Malah, ketika masih menjadi jeneral tiga bintang, Zulkifli pernah memegang jawatan Naib Canselor di universiti itu pada 2008 sebelum dinaikkan pangkat menjadi PTD,” kata sumber itu lagi.

Zulkifli ketika itu disebut-sebut bakal dilantik sebagai PAT bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Zulkifli bakal menggantikan Raja Affandi yang difahamkan akan tamat kontrak lanjutan pada 19 Disember ini.

Raja Affandi yang dilahirkan di Kampung Raja di Besut, menggantikan Zulkifeli sebagai PAT pada 19 Disember 2016 dan sepatutnya bersara pada tarikh lahirnya, 20 Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, tempoh perkhidmatannya dilanjutkan selama setahun.

Sumber berkata, Raja Affandi dijadualkan menyerahkan tanggungjawabnya kepada Zulkifli di Kementerian Pertahanan pada 20 Jun ini. -WD MY