KUALA LUMPUR, 22 Nov – Mantap….. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin
pelatih-pelatih Program Internship Barisan Nasional (BN) Mahasiswa Turun
Parlimen (Mantap) di seluruh negara bakal memperkukuhkan kerusi-kerusi yang
dimenangi BN.
Timbalan perdana menteri berkata program di bawah Majlis Ahli Parlimen BN
(BNBBC) itu adalah sebuah wadah yang penting bagi memastikan kejayaan BN pada
pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.
“Dalam tempoh empat tahun ini, pelbagai program telah kita laksanakan dan
kemuncaknya adalah pada PRU. Jika apa yang dilakukan sekarang tidak memberi
sebarang kesan, ia hanya akan jadi seperti air yg dicurah ke daun keladi,”
katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Mantap 6 di Menara Parlimen di
sini hari ini.
Seramai 98 pelatih diraikan pada majlis itu dan daripada jumlah itu, 13
peserta ditawarkan untuk kekal bertugas dengan anggota-anggota Parlimen termasuk
tiga orang menteri dan dua orang timbalan menteri.
Daripada 98 pelatih itu 68 adalah penuntut institut pengajian tinggi awam
(IPTA), 22 orang daripada institut pengajian tinggi Swasta (IPTS) dan lapan orang daripada Kelab Umno Luar Negara (KULN).
Program Mantap merupakan satu program kepimpinan yang diadakan hampir setiap
tahun sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO.
Para pelatih mula bertugas bersama anggota-anggota Parlimen pada 17 Okt-23
Nov 2016 manakala Majlis Penyerahan Pelatih Mantap 6 kepada anggota Parlimen
disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 Okt
di Seri Perdana, Putrajaya. – WD MY