WASHINGTON,MEI 27: MENINGGAL…Angkasawan Amerika Syarikat (AS) yang juga manusia keempat menjejakkan kaki ke bulan, Alan Bean meninggal dunia pada usia 86 tahun, semalam.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Pengurusan Angkasa Lepas dan Aeronautik Nasional (NASA), angkasawan yang bertukar karier kepada pelukis itu meninggal dunia di Houston selepas jatuh sakit secara tiba-tiba seminggu lalu.

Mendiang adalah ahli kumpulan elit yang dipilih NASA untuk kumpulan ketiga angkasawan pada tahun 1963 dan menjalani ujian bersama Tentera Laut AS.

Bean pernah menjejakkan kaki ke angkasa lepas sebanyak dua kali, masing-masing pada tahun 1969 bersama pesawat Apollo 12 untuk misi mendarat di bulan dan sebagai komander dalam pasukan kedua yang diterbangkan ke stesen angkasa lepas pertama AS pada tahun 1973.

Penerokaan kedua mendiang ke angkasa lepas menyaksikan beliau memecah rekod 59 hari yang dicatatkan menerusi perjalanan sejauh 39.3 juta kilometer.

Bean menamatkan perkhidmatan di NASA pada 1981 untuk meneruskan karier sebagai pelukis dengan mencipta pelbagai lukisan bertema Apollo yang memiliki tekstur cetakan kasut bulan.

Beliau turut menggunakan campuran akrilik dan serpihan kecil lencana tampal dari misi angkasa lepas yang pernah disertainya serta taburan debu bulan. – MY WD