KUALA LUMPUR 4 JAN – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata MARA Digital hanya akan menjual produk digital yang tulen dan asli sahaja apabila pengeluar dan pembekal barangan digital WGN Scan Sdn Bhd akan menjadi pembekal dan badan yang mengesahkan ketulenan produk yang import sebelum dijual.

Menurut beliau, justeru pengguna tidak perlu lagi risau ketulenan produk yang dibeli apabila dua langkah bagi menjamin produk tersebut dilakukan WGN.

“Pertama produk yang diedarkan adalah produk daripada WGN sendiri, terpulang samaada peniaga mengambil secara langsung daripada WGN atau import,” kata beliau.

“Kedua produk yang datang daripada negara luar atau diimport dari negara kedua perlu dibawa kepada WGN terlebih dahulu untuk disahkan ketulenannya. Jadi akan datang tak timbul isu produk diambil dari tempat lain dan apa sahaja barang adalah tulen,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas membuat lawatan ke MARA Digital hari ini.

Tambahnya, sebagai langkah pembaharuan, pihaknya akan membuka sebuah pusat aduan pelanggan yang membolehkan semua jenis aduan dilakukan di pusat berkenaan apabila dibuka nanti.

“Apa sahaja yang aduan boleh dibuat di pusat aduan ini dan kita akan letakkan Pegawai MARA yang juga pegawai yang menguruskan MARA Digital untuk menerima aduan daripada masalah produk yang tak berkualiti, bukan tulen malah apa sahaja aduan pelanggan serta layanan dan sebagainya,” kata Ismail Sabri.

Tambah Ismail Sabri, beliau berpuas hati dengan jualan produk yang dilihat semakin meningkat.

Malah jualan dan produk lain yang dijual di bangunan MARA juga mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 30% hingga 50%.

“Maka kita akan buka MARA Digital ini dibeberapa tempat lain supaya orang lain ada peluang membeli di tempat lain,” kata Ismail Sabri.

Kita akan buka beberapa lagi Digital Mall tahun ini seperti di Damansara pada bulan Mac atau April. Manakala Anggerik Mall ada pejabat di situ kita akan pindahkan secepat mungkin berkemungkinan pada bulan Jun,” katanya. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY