KUALA LUMPUR, 18 Okt – Tidak Hukum Peminjam…….  MARA tidak akan mengambil tindakan menghukum kepada mana-mana pelajar yang liat membayar balik pinjamannya.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata sebaliknya MARA mengambil tindakan memujuk dan perbincangan terus dengan peminjam.

“Kita tidak akan bebankan pelajar dan mengambil tindakan menghukum sebaliknya memberi peluang melalui perbincangan dan rundingan dengan peminjam. Selain itu, kita memberi diskaun untuk peminjam yang membayar lebih awal.

“Kita akui memang ada implikasi kewangan kalau peminjam ini  tidak membayar balik seperti tidak dapat menghantar lebih ramai pelajar ke luar negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani), yang mahu mengetahui kesan kepada MARA akibat kegagalan peminjam membayar balik pinjaman pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Alexandar berkata, MARA mempunyai program dan strategi khusus serta berterusan untuk mengutip balik pinjaman seperti potongan gaji selepas mengesan majikan peminjam.

Katanya, kementerian juga akan terus menghantar pelajar cemerlang ke luar negara, namun keutamaan diberikan kepada pelajar untuk tahun terakhir dan pengajian peringkat tertinggi.

“Dalam suasana sekarang, MARA hanya menawarkan pengajian  ijazah peringkat pertama dan diploma di dalam negara dan tawaran ke luar negara untuk pengajian dalam bidang sains, teknologi dan matematik bagi peringkat lebih tinggi dan ijazah lanjutan di universiti terkemuka global” katanya.

Beliau menjelaskan, langkah itu bukan hanya untuk menjimatkan kos tetapi juga menyokong usaha menjadikan Malaysia hab pendidikan global.

“Kita juga mengambil pendekatan menghantar pelajar ke negara yang kos pengajiannya lebih murah seperti India, Australia dan New Zealand.

“MARA juga melalui Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut menaja 2,400 pelajarnya yang belajar di dalam negeri,” katanya. – WD MY