KUANTAN, 9 Feb – PENERBANGAN….. ¬†Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan penerbangan ihsan membawa seorang kanak-kanak berusia empat tahun mengalami jangkitan kuman di paru-paru dari Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), malam tadi.

Helikopter jenis Agusta AW139 itu membawa Mohammad Izzue Ramzi Mohamad Jaffri bersama ahli keluarganya serta pegawai perubatan Klinik Kesihatan Tekek, Dr Abd Zaki Arrasyid.

Pengarah Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar, berkata pihaknya menerima permohonan untuk membawa kanak-kanak itu yang memerlukan rawatan segera.

Berikutan itu, pesawat diterbangkan dari Stesen Maritim Udara Subang, Selangor pada jam 8.20 malam dan tiba di Pulau Tioman jam 9.45 malam untuk mengambil kanak-kanak itu yang dirawat di Klinik Kesihatan Tekek.

“Pesawat berlepas dari Pulau Tioman jam 10.15 malam dan mendarat di padang Kemunting MPK jam 11.05 malam. Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke hospital menaiki ambulans,” katanya malam tadi.

Penerbangan diketuai Lt Kdr Maritim Shamsul Ehsan Alwi dan pembantunya, Lt Kdr Maritim Azizi Zulkifli. – WD MY