MELAKA, 29 Julai – Masa…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inilah waktu terbaik semua jentera parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk bersatu meruntuhkan kubu pembangkang yang diketuai DAP.

Ahmad Zahid selaku Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, tempoh dua penggal pembangkang memberi pelbagai janji palsu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dan Ke-13 sudah berlalu, dan mandat sebenarnya harus dikembalikan kepada BN.

“Saya khuatir jika BN tidak bekerja keras, kita akan disejarahkan dan dikecundangkan. Cukup-cukuplah… kita belajar daripada pengalaman (lalu), terbuai daripada mimpi terdahulu.

“Tugas-tugas kita dalam parti UMNO untuk membantu calon BN. Begitu jugalah kepemimpinan komponen lain untuk membantu calon UMNO dalam PRU akan datang.

“Tolonglah… inilah ketikanya zaman DAP mula merudum dan empayar ‘Dinasti Lim’ akan pecah dan runtuh dalam PRU-14,” katanya ketika berucap pada perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Hotel Mahkota di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyeru semua kepemimpinan parti untuk memberi tumpuan terhadap persiapan PRU-14, berbanding cuba untuk melobi dalam pemilihan parti.

“Apa maknanya menjadi ketua bahagian kalau tidak merampas semula kerusi yang kalah. Saya menyeru kepada diri saya dan rakan-rakan lain untuk mengutamakan PRU-14, ketepikan pemilihan parti.

“Saya tahu ada sesetengah tokoh cuba melobi (jawatan). Ada yang jumpa tiga kali, nak rancang jumpa pun ada. Saya tahu, sebab saya Menteri Dalam Negeri,” katanya. – WD MY