SHAH ALAM, MAC 12 – MASALAH..Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sepatutnya menyalahkan pentadbirannya berikutan masalah air yang melanda negeri itu dan bukan pihak lain, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata tindakan kerajaan negeri melengah-lengahkan urusan pembelian syarikat konsesi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) menyebabkan kerja penyelenggaraan aset air tidak dapat dijalankan dengan teratur dan berkesan.

“Melalui rundingan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, sekiranya kerajaan negeri Selangor tetap mahu pembelian Splash pada harga RM2.7 bilion berbanding tawaran asal RM250.6 juta, kerajaan negeri perlu menanggung 40 peratus jumlah berkenaan dan kerajaan persekutuan hanya memberi pinjaman 60 peratus sahaja.

“Kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin sehingga kini belum memberi jawapan berhubung perkara ini, dan ini adalah punca mengapa penstrukturan semula perkhidmatan air (Selangor) tidak dapat dilengkapkan sehingga kini,”kata Noh, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. – MY WD