KUALA LUMPUR, 8 Nov – Bakal Tangani….. Penduduk Wilayah Persekutuan yang kerap menghadapi gangguan bekalan air dijangka berakhir menjelang tahun 2020 apabila Sistem Kawalan Penyimpanan Air (WSCS) dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menteri Wilayah Persekutuan berkata WSCS yang dibangunkan ASI Air Simpanan Sdn Bhd (ASI) adalah sistem pengurusan air digital pertama dilaksanakan di negara ini menggunakan telaga tiub untuk mengumpul dan menyimpan air hujan sebelum dibekalkan kepada pengguna.

knam

Sistem ini akan membolehkan Kuala Lumpur tidak terlalu bergantung bekalan air daripada pihak lain khasnya Selangor untuk mengurus bekalan air dan mempunyai sumber air sendiri untuk dibekalkan kepada pengguna.

Beliau berkata, sistem dijangka menelan kos RM2.4 bilion ini juga dapat membantu mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda ibu negara apabila berlaku hujan lebat luar biasa.

“Sistem ini menggunakan telaga tiub yang dibina menegak dan berfungsi sebagai tempat menyimpan air hujan yang akan ditapis menggunakan sistem membran sebelum dibekalkan kepada pengguna dan industri.

“Ia mempunyai turbin yang mampu menghasilkan tenaga elektrik bagi mengepam air yang ditakung untuk dibekalkan kepada pengguna.

“Sebanyak 1,200 telaga tiub bakal dibina di 30 lokasi sekitar ibu negara dan akan mampu menyimpan sehingga 85 bilion liter air pada satu-satu masa, melebihi apa diperlukan warga kota iaitu 33 bilion liter sebulan,” katanya.

Tengku Adnan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek WSCS di sini, hari ini.

Projek rintis yang akan dimulakan di Titiwangsa itu dilaksanakan menerusi perkongsian kerjasama antara ASI dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Bagi fasa pertama projek ini, sebanyak 20 telaga tiub dibina dan dijangka siap pada tahun 2018 untuk kegunaan industri dan fasa kedua akan dimulakan selepas fasa pertama selesai dibina. – WD MY