KUALA LUMPUR, OKTOBER 29: NASIB…Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan orang Melayu masih dibuai mimpi indah tentang ketuanan Melayu sedang hakikatnya mereka jauh ketinggalan.

Menurut Syed Saddiq, laungan itu hanya kosong serta tidak berpijak di bumi nyata.

“Memang indah untuk kita dibuai mimpi “Ketuanan”, tetapi realitinya ternyata berbeza. Memang popular apabila kita laungkan “Hidup Melayu”, tetapi laungan itu kosong apabila berpijak di bumi yang nyata.

Dari pekerja di kilang sampailah ke chef di restoran mewah, pekerja asing juga yang dicari, sambil bangsa kita masih menunggu dan mengharapkan tawaran kerja yang selesa berhawa dingin yang belum kunjung tiba,” katanya dalam hantaran Twiter peribadinya.

Lihat sahaja pada hari ini, katanya, sejarah bakal berulang kerana orang Melayu suka mengambil jalan yang mudah dan pintas dan tidak berani keluar dari zon selesa.

“Mana perginya “Ketuanan” apabila pemimpin Melayu yang dahulu disegani dan dihormati, kini dilihat terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa.

“Mana perginya “Ketuanan” apabila ramai anak muda Melayu memilih untuk merempit sampai ke lewat malam sambil rakan-rakan bangsa lain gigih mengejar ilmu untuk melakar masa depan yang lebih cerah? Tidak dinafikan, ada segilintir anak Melayu yang cemerlang, namun masih ramai yang terkandas,” jelasnya.

Beliau turut mempersoalkan mana perginya “Ketuanan” jika 9.8 juta orang Melayu mempunyai pelaburan ASB kurang dari RM5,000 sedangkan 500,000 orang Melayu lain mengumpul 63 peratus jumlah pelaburan ASB.

“Mana perginya “Ketuanan” apabila individu Melayu hanya memiliki kurang dari 4 peratus kekayaan di pasaran saham negara.

“Mana perginya “Ketuanan” apabila kontraktor-kontraktor Melayu sanggup berkiblatkan modal ali-baba untuk makan untung atas angin?

“Mana perginya “Ketuanan” apabila 7 daripada 10 orang penagih dadah di Malaysia merupakan anak muda Melayu?” soal beliau.

“Di manakah “Ketuanan” pada hari ini? Adakah Melayu betul-betul tuan di tanah air tercinta ini, atau adakah kita hanya sekadar “tuan” pada tanda nama, tetapi hakikatnya, semakin terpinggir dan diperhambakan tanpa sedar?” tambahnya.

Namun, katanya, sebagai seorang anak muda yang tidak ingin melihat masa depan anak bangsa dibuai mimpi yang palsu, beliau bertanggungjawab untuk berkongsi rasa sebelum maruah nasib bangsa terhakis perlahan-lahan.

“Nasib kita di tangan kita sendiri.Tak perlu untuk ungkit “ketuanan” melalui slogan dan syarahan. lKita “tuan” kalau berani berubah,berani menghadap risiko, menjalankan kerja dengan amanah dan sentiasa menguasai semua ilmu sampai tidak perlu bergantung kepada sesiapa pun lagi,” katanya.

“Apabila saya sebut “Ketuanan Melayu” di dalam ucapan saya, sama sekali ia tidak bermaksud menyentuh hak termaktub dalam perlembagaaan Malaysia tentang orang Melayu, Raja Raja Melayu ataupun agama Islam.

“Saya nak pastikan generasi masa hadapan dapat menikmati pembangunan negara secara adil dan saksama. Bukan setakat retorik bahasa atau omong kosong tidak bermakna,” katanya.

“Saya nak pastikan kualiti hidup mereka jauh lebih baik daripada kita pada hari ini.

Saya tidak akan berhenti berjuang demi nasib anak bangsa tercinta. Saya dibesarkan dalam keluarga MARA dan dididik oleh ibu ayah yang tidak kenal erti penat lelah walaupun dihimpit kesusahan,” katanya.

“Sambil kita menjulang keris dengan bangganya, perlahan-lahan kita sedang menghunusnya ke hati kita sendiri tanpa kita sedari.

“Saya ingin menutup karangan ini dengan memetik kata kata YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad: “Ketika itu tanpa memanggil diri kita “Tuan”, dunia akan iktiraf kita sebagai Tuan yang sebenar,” katanya.-MY WD