KUALA LUMPUR, 23 Nov – Terlalu Awal……. Adalah terlalu awal untuk Malaysia menyatakan pendirian dan dasarnya ke atas Presiden baharu Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memandangkan proses peralihan pentadbiran baru bermula.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata Trump hanya akan dilantik secara rasmi sebagai Presiden AS ke-45 pada 20 Januari depan dan selepas itu barulah memulakan kerajaan pentadbirannya.

Katanya, hubungan kerjasama dua hala di antara Malaysia-AS terbina atas dasar saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan berdasarkan kerjasama erat kedua-dua negara dalam pelbagai bidang kepentingan termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan serta keselamatan.

“Peningkatan hubungan dua hala dengan AS sudah sampai ke tahap rakan komprehensif pada tahun 2014 di dalam pelbagai bidang kerjasama yang sudah memberikan banyak manfaat kepada hubungan antara kedua-dua negara.

“Sehubungan itu, Malaysia akan meneruskan kerjasama dengan pentadbiran baharu AS untuk memastikan kesinambungan hubungan kerjasama dua hala terus kukuh dan pada masa sama, memastikan kepentingan Malaysia terjamin di masa depan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian dan dasar Malaysia dengan Presiden baharu AS, Donald Trump. – WD MY