KUALA LUMPUR, 29 Nov – Jalankan Siasatan Berterusan…. Siasatan ke atas Maria Chin Abdullah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas (SOSMA) masih dijalankan walaupun Pengerusi Bersih 2.0 itu dibebaskan, semalam.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pasukan siasatan membebaskan Maria selepas segala butiran dan fakta yang diperlukan sudah diambil.
“Pasukan siasatan sedang melengkapkan dan mengemaskini kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.
“Sehubungan itu, kami menafikan dakwaan Maria Chin yang menyatakan siasatan terhadapnya sudah selesai sepenuhnya dan dia tidak bersalah,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, pagi tadi.
Khalid berkata, tiada keperluan untuk pihaknya menahan Maria Chin lebih lama selepas siasatan awal selesai.
“Ini bukan bermaksud dia tidak bersalah, namun kita membawa keputusan siasatan untuk pendakwaan.
“Selain SOSMA, dia juga berhadapan siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012,” katanya. – WD MY