KOTA BHARU, 17 Feb – MASIH TERDAPAT…… 2,600 unit kuarters guru di seluruh negara kosong kerana ramai dalam kalangan mereka mempunyai rumah sendiri dan mengajar di kampung halaman masing-masing.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, bagi mengelakkan pembaziran kuarters yang dibina kerajaan ini, pihak yang berminat boleh mengemukakan permohonan untuk menggunakan kuarters guru berkenaan.

“Pihak yang berminat boleh membuat permohonan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia. Ia akan dipertimbangkan termasuk untuk dijadikan asrama pemain bola sepak dalam kalangan murid dan pelajar,” katanya.

Alias berkata demikian di sidang media selepas Majlis Pelancaran Tan Sri Annuar Musa Al Hamra Red One Academy (TSAM ARMY) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Chengal, Ketereh, hari ini.

Turut hadir, Presiden TSAM ARMY yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Pada masa sama, Alias berkata, sebanyak RM500 juta diperuntukkan kerajaan bagi membaik pulih sekolah yang uzur terutama bumbung, tandas dan kerosakan kecil.

“Peruntukan itu membabitkan semua sekolah termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan dan sekolah agama.

“Peruntukan kepada Kelantan berjumlah RM20 juta yang akan diagihkan kepada Parlimen masing-masing,” katanya. – WD MY