MELAKA, 28 Dis – CABAR…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Israel mencabar keamanan dan keharmonian di Baitulmuqaddis yang didambakan masyarakat dunia.

Menurut Ahmad Zahid hakikatnya masyarakat dunia mahukan keamanan dan keharmonian dikekalkan di Baitulmuqaddis, namun ini dicabar Israel yang memindahkan ibu kotanya ke bandar itu.

“(Pertubuhan) Bangsa Bersatu telah adakan perhimpunan luar biasa yang mana usul (menolak Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel) telah diterima 128 negara… masyarakat dunia mahukan keamanan dan keharmonian beragama.

Namun negara kecil ini (Israel) mencabar hak orang beragama Islam, beragama Kristian untuk berada di sana (Baitulmuqaddis) ,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2017 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir malam tadi.

Ahmad Zahid berkata pemimpin masyarakat Kristian Katholik turut menyertai perhimpunan menolak Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel, yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini, menunjukkan masyarakat berbilang agama di negara ini faham mengenai kepentingan keamanan dan keharmonian untuk sesebuah negara.

Justeru, beliau berkata rakyat Malaysia terutama generasi muda perlu mempertahankan keamanan, keharmonian, kecintaan dan semangat kekitaan yang dikecap sejak sekian lama.

“Keharmonian memang sukar untuk dicapai tetapi keharmonian tetap menjadi tonggak perpaduan rakyat kita, ini uniknya Malaysia dan kita semua harus bersyukur dengan terus pertahankan keamanan dan keharmonian ini,” katanya.

Katanya walaupun mempunyai perbezaan pendapat, agama dan latar belakang, Islam telah mengajar semua supaya saling menghormati antara satu sama lain dan ini merupakan tonggak rakyat Malaysia untuk sekian lama.

“Kita mesti belajar menghormati agama lain dan orang lain supaya agama kita dan kita sendiri dihormati,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya mengekalkan keamanan dan kehormanian ini, maka adalah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk terus mempertahankannya. – WD MY