SUNGAI SIPUT, 11 Nov – PELUANG…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta masyarakat India agar tidak melepaskan pelbagai peluang yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Ahmad Zahid berkata, peluang berkenaan termasuk ‘blueprint’ pembangunan masyarakat India yang hanya datang sekali dan harus direbut seluruh kaum itu.

“Amat rugi atau kerugian besar jika idea (kerajaan) (bagi meningkatkan taraf hidup) yang ada tidak dapat diterjemahkan oleh rakyat Malaysia keturunan India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2017 di Ladang Infoternak di sini malam ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata antara peluang berkenaan termasuk dua bilion unit saham amanah yang disediakan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat berkenaan.

Beliau berkata, langkah itu membuktikan kerajaan bukan semata-mata menggubal dasar tetapi juga melakukan pelaksanaannya bagi memastikan ia dapat dinikmati kumpulan sasar.

Katanya, kerajaan komited dengan matlamat memastikan sasaran sekurang-kurangnya tujuh peratus penjawat awam terdiri daripada masyarakat India.

“Masyarakat India telah memberi sumbangan yang tidak kurang penting dalam membangunkan negara, baik dalam sektor ekonomi dan bidang lain berkaitan.

“Sumbangan ini harus dihargai dengan membantu menghapuskan kemiskinan di kalangan masyarakat India terutama kemiskinan di bandar,” katanya.

Ahmad Zahid turut meminta penduduk dalam Parlimen Sungai Siput agar kembali menyokong calon kerajaan seperti mana sokongan diberikan kepada tokoh masyarakat India sebelum ini sehingga kawasan berkenaan berada dalam arus pembangunan pesat, berbanding sekarang.

Kira-kira 15,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis berkenaan yang diadakan sehari suntuk di sini.

Selain persembahan kebudayaan, turut diadakan ialah pertandingan karaoke, konsert rakyat, Perak Idol, pameran dan demonstrasi oleh pelbagai agensi kerajaan serta hidangan makanan tradisional untuk pengunjung.

Hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. – WD MY