HUTAN MELINTANG, 4 Feb – HARGAI….. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Masyarakat India di negara ini perlu menghargai pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan serta pemimpin MIC, yang gigih memperjuangkan nasib mereka.

Ahmad Zahid berkata sokongan masyarakat itu amat diperlukan bagi memastikan calon Barisan Nasional (BN), termasuk dari MIC menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Sejak MIC dipimpin Presidennya, Datuk Seri Dr Subramaniam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pelbagai program khas, termasuk pelan khas bagi masyarakat kaum India, menaik taraf sekolah Tamil seluruh negara serta menubuhkan Sekretariat Khas Bagi Memperkasa Usahawan India (SEED) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dalam PRU Ke-13, ada 60 kerusi parlimen, yang mana lebih 10 peratus pengundinya adalah orang India. BN dapat 22 daripada 60 kerusi berkenaan manakala pembangkang dapat 38 kerusi.

“Disebabkan Subramaniam memperjuangkan nasib masyarakat India, maka kena bagi sokongan kepada dia dan semua calon BN. Sebelum ini, tak ada program khusus yang besar seperti yang diperjuangkan rakan saya ini (Dr Subramaniam).

“Jadi, masa PRU-14, orang India kita tutup buku lama dan buka buku baru. Kita mahu tunggu apa lagi, kalau dulu mereka (pembangkang) kempen kata ‘ini kali lah’ (tumbangkan BN), kali ini kita kata ‘kali ini lah’ kita tukar kepada BN,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Pesta Ponggal 2018 peringkat negeri Perak di Dewan Sanmarka Orang India, malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, pengundi India di Bagan Datuk perlu memastikan BN dapat merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang dan memperkukuhkan kemenangan BN bagi DUN Rungkup.

Katanya, berdasarkan sokongan kaum India di Parlimen Bagan Datuk, termasuk kehadiran luar biasa kaum itu pada Pesta Ponggal, di sini, hari ini, beliau yakin BN akan mencapai matlamat itu.

“Kalau dulu di Parlimen Bagan Datuk saya menang tapi cuma (majoriti) 2,108 undi saja, saya tutup muka (malu), tak apa itu cerita lama, kali ini kita rampas semula (kerusi DUN Hutang Melintang).

“BN menang di (DUN) Rungkup tapi sikit (majoriti) 613 saja. Tapi jangan risau, kali ini sekurang-kurangnya 6,000 majoriti sebab kerusi Rungkup dan Hutan Melintang adalah dua kerusi penting yang diwakili BN. Kita mesti memperkuatkan kerajaan negeri Perak dengan memenangkan Hutan Melintang dan memperkukuhkan Rungkup,” katanya.

MIC kini mempunyai 4,300 cawangan dengan keahlian seramai 440,000 orang di seluruh negara dan bilangan ahli parti itu mewakili 46 peratus pengundi kaum India di negara ini. – WD MY