KUALA LUMPUR, 31 Jan – BN…..┬áTimbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Masyarakat India perlu memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memastikan segala bantuan dan peruntukan kepada komuniti itu dapat terus diagihkan.

BN sememangnya memerlukan sokongan masyarakat India untuk menang dengan majoriti lebih besar dalam PRU akan datang.

“Kita tutup cerita lama, tutup buku lama bagi mana-mana yang tidak bersetuju. Dalam hari besar kita nanti, kena sokong BN kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah banyak melakukan perubahan (lebih baik) kepada rakyat.

“Untuk mendapatkan sokongan yang besar maka kena dapat dokongan lebih besar. Kalau ini dapat dilakukan, saya akan bisik kepada Najib untuk salur bantuan lagi kepada masyarakat India (dengan jumlahnya) lebih besar lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika membuat kunjungan ke Batu Caves, bersempena sambutan Thaipusam, hari ini.

Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta daripada kerajaan bagi membangunkan semula dan menaik taraf Pusat Kebudayaan India di Batu Caves, yang akan disalurkan dalam tempoh seminggu ini.

Beliau juga berharap dengan pembinaan pusat itu, akan menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar untuk berkunjung ke sini, di samping mendalami keunikan dan kepelbagaian budaya yang ada di negara ini.

“Kita harap pada 3 Jun akan datang ini lebih ramai akan hadir (ke Batu Caves), saya minta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan lipatkan usaha untuk bawa lebih ramai pelancong ke sini,” katanya.

Ahmad Zahid turut memaklumkan, akan menyalurkan peruntukan khas kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi meningkatkan usaha promosi Batu Caves sebagai destinasi yang mesti dilawati pelancong.

“Saya akan menyalurkan sedikit lagi kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi lakukan promosi kepada Batu Caves untuk menjadi tapak pelancongan dunia. Lokasi ini sudah terbukti menjadi tapak ikonik pelancong,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri juga berharap tiada sebarang insiden tidak diingini sehingga mengundang kekecohan sepanjang berlangsungnya sambutan perayaan ini. – WD MY