KUALA LUMPUR, 3 Dis – BERI MANDAT…. ¬†Masyarakat India perlu terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) jika mahu menikmati lebih banyak pembangunan negara.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan BN sudah membuktikan apa yang dijanjikan dan dirancang menjadi kenyataan, malah diiktiraf badan dunia.

Katanya, kerajaan juga melaksanakan pembangunan yang inklusif untuk semua rakyat.

“Sebab itulah kita (perlu) beri keyakinan kepada pihak yang berbuat sesuatu bukan bergantung kepada cakap dan janji sahaja.

“Semua orang boleh cakap tetapi siapa mempunyai perancangan dan program dan melaksanakannya? Tidak lain tidak bukan sudah tentunya BN yang boleh dan akan terus melaksanakan pembangunan untuk rakyat,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung ke-9 Parti Makkal Sakti hari ini.

Seramai 2,100 perwakilan parti berkenaan hadir pada perhimpunan itu. Yang turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil pendekatan setiap kelompok masyarakat tidak kira majoriti atau minoriti akan tetap diperjuangkan.

Katanya, semangat satu Malaysia yang menjadi prinsip perjuangan akan tetap diteruskan.

“Seperti masyarakat India, saya tahu ada beberapa cabaran yang unik yang mereka hadapi termasuk isu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJKT) dan struktur masyarakat India di kawasan estet dan generasi baharu.

“Saya juga ketengahkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang mana tidak pernah dalam sejarah ia direkodkan dalam Hansard (Penyata Rasmi) di Parlimen,” katanya.

Beliau menegaskan SJKT kini dalam proses transformasi yang mana kini sebanyak 523 sekolah beroperasi dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion seperti diumumkan dalam Bajet 2018.

Justeru, katanya, masyarakat India perlu memilih orang yang dapat berkhidmat kepada rakyat bukannya berdasar perasaan saja.

“Jangan termakan dengan fitnah dan politik kebencian pembangkang. Jangan percaya dengan janji kosong mereka,” katanya. – WD MY